MELAKA 25 Feb. – Ternakan ayam serama akan dikembangkan kepada
penduduk luar bandar kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan ekoran
harga seekor ayam tersebut boleh mencecah sehingga RM30,000 seekor.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek
berkata, ayam serama Malaysia mendapat permintaan yang tinggi di pasaran
luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, England, Belgium,
Korea Selatan, Filipina dan Asia Barat.
“Di China sebagai contoh, permintaan terhadap ayam serama dari
Malaysia amat tinggi kerana ia menjadi hidangan sup yang harganya
mencecah sehingga RM100 semangkuk.
“Melihat kepada permintaan yang tinggi, kementerian berpendapat sudah
tiba masanya masyarakat luar bandar mengusahakan ternakan ayam serama
untuk komersial dan bukan lagi sebagai hobi,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pertandingan Seni Warisan
Ayam Serama 1Malaysia anjuran Persekutuan Ayam Serama Sedunia Malaysia
(PASSM) di Taman Serama Sedunia, Durian Tunggal di sini hari ini.
Turut hadir Penasihat PASSM, Tengku Mohamad ibni Sultan Yahya Petra.
Seramai 300 peserta dari Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan,
Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Melaka mengambil bahagian pada
pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu.
Hasan yang juga Penaung PASSM berkata, keunikan ayam serama Malaysia
adalah kerana saiznya yang terkecil di dunia, jinak, warna yang cantik
dan bergaya.
Beliau menambah, harga ayam serama boleh meningkat tinggi tetapi
bergantung kepada saiz, warna, keadaan ekor, kepak, balung dan
perwatakannya.
“Kalau ayam serama bukan dari jenis baka yang baik, paling rendah pun harganya ialah RM500 seekor,'' ujarnya.
Dalam perkembangan lain Hasan berkata, PASSM dengan kerjasama
Persekutuan Serama Sedunia yang berpangkalan di AS akan menganjurkan
pertandingan Festival Serama Sedunia di Kuala Lumpur Oktober ini. –
UTUSAN
sumber: UtusanMalaysia
No comments:
Post a Comment