KETAGIHAN berjudi di Internet bukan sekadar masalah penggunaan Internet yang berlebihan seperti laman sosial Facebook, Twitter atau bermain permainan komputer.
Ia melibatkan kerosakan psikososial yang lebih dahsyat sehingga boleh menjejaskan kehidupan dan masa depan seseorang.
Ia tidak seperti berjudi di kasino yang melibatkan pertaruhan wang
ringgit terhadap keputusan sesuatu permainan tetapi menggunakan komputer
peribadi yang telah dijaringkan ke Internet.
Pertaruhan boleh dibuat di rumah atau kafe siber.
Jenis permainannya terbahagi kepada;
1. Permainan pertaruhan elektronik berkonsepkan kebarangkalian rawak
dengan sesuatu pertaruhan dilihat boleh memberi pulangan berganda atau
tidak mengikut susunan algoritma yang disimpan di dalam papan litar
sirkit, cip elektronik atau CD-ROM. Pertaruhan biasanya mengikut jumlah
payline seperti permainan mesin slot.
2. Permainan pertaruhan elektronik secara langsung seperti permainan roulette atau baccarat.
Pertaruhan biasanya di buat melalui pengusaha kafe siber atau menggunakan kad kredit di laman web perjudian tersebut.
Di Malaysia, ketagihan judi Internet biasanya menjadi masalah dalam kalangan orang dewasa.
Pelbagai undang-undang seperti penguatkuasaan had umur dan sebagainya
telah dibuat untuk mengelakkan masalah menular kepada remaja dan
pelajar sekolah.
Bagaimanapun, kewujudan pusat pertaruhan Internet di kafe siber
menunjukkan konsep perjudian berkenaan sudah mula diperkenalkan kepada
anak-anak muda di sini.
Senario berkenaan memang membimbangkan kerana kajian Yayasan
Annenberg di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan lebih kurang 600,000
remaja berumur 14 hingga 22 tahun mengaku berjudi di Internet setiap
minggu.
Dari segi perubatan psikiatri, ketagihan berjudi di Internet tidak jauh bezanya dengan ketagihan dadah atau alkohol.
Menurut klasifikasi DSM-IV oleh American Psychiatric Association
(1994) masalah ketagihan berjudi tergolong dalam jenis penyakit mental
yang dinamakan impulse control disorder dan pesakit sekurang-kurangnya mempunyai lima daripada ciri berikut:
1. Mempunyai ingatan sangat kuat untuk berjudi.
2. Sentiasa meningkatkan jumlah pertaruhan untuk memenangi wang lebih besar atau menebus kekalahan berjudi.
3. Kerap gagal untuk berhenti atau mengurangkan aktiviti perjudian.
4. Menjadi resah dan mudah marah apabila cuba untuk berhenti.
5. Berjudi untuk menyelesaikan masalah kewangan atau berharap untuk menghiburkan hati hasil wang kemenangan.
Apabila kalah dalam pertaruhan, mereka akan cuba menebusnya dengan
berbohong kepada ibu-bapa, pasangan atau doktor untuk menutup segala
kemudaratan disebabkan berjudi. Mereka juga sanggup melakukan aktiviti
haram untuk mengganti wang pertaruhan seperti menipu, menerima rasuah
dan mencuri.
Akibatnya berlaku keruntuhan rumah tangga, rosaknya hubungan keluarga, kerjaya dan pelajaran.
Penagih judi Internet terpaksa bergantung dengan orang lain untuk
menampung kekurangan wang yang disebabkan oleh kemudaratan aktiviti
perjudian.
Ketagihan judi di Internet sebenarnya berkongsi laluan yang sama seperti ketagihan dadah dalam merangsang pusat otak melalui neurotransmitter yang dipanggil dopamine dan adrenaline.
Setiap kali menang dalam sesuatu pertaruhan, mereka akan merasakan kenikmatan tidak terhingga (fenomena adrenaline rush) yang menyebabkan kerap teringat-ingat dan terus mencari kenikmatan tersebut di dalam pertaruhan seterusnya.
Kenikmatan ini bagi mereka melebihi kenikmatan seks semasa ejakulasi.
Pengulangan aktiviti berkenaan secara berterusan akan menyebabkan ciri penagihan tegar dan kehancuran kehidupan.
Pesakit yang mengalami ketagihan judi di Internet juga didapati
mempunyai masalah mental yang lain seperti kemurungan, kerisauan
melampau dan obsessive compulsive disorder (OCD).
Kira-kira 20 peratus daripada mereka pernah cuba membunuh diri atau
mempunyai keinginan untuk membunuh diri pada satu-satu masa sepanjang
perjudian mereka.
sumber: UtusanMalaysia
No comments:
Post a Comment