LONDON – Dua jadual Liga Perdana Inggeris semalam menampilkan dua
perlawanan dramatik dengan Arsenal bangkit daripada ketinggalan dua gol
untuk membelasah musuh sejiran, Tottenham 5-2 di Emirates, manakala
Manchester United pula mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Norwich di
Carrow Road.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Arsenal tersentak seawal minit
minit keempat menerusi Louis Saha, sebelum kedudukan itu digandakan
setengah jam kemudian oleh bekas penyerang Gunners, Emmanuel Adebayor
yang menyempurnakan sepakan penalti Gareth Bale dijatuhkan Laurent
Koscielny.
Apabila disangka maruah skuad bimbingan Arsene Wenger terus
tercalar, terutamanya selepas tersingkir daripada Piala FA malah juga di
ambang penyingkiran dari Liga Juara-Juara selepas dibelasah AC Milan
4-0 minggu lalu, mereka bagaikan ‘mati hidup semula’.
Kebangkitan tuan rumah dimulakan oleh Bacary Sagna dan Robin Van
Persie pada babak pertama sebelum gawang Spurs terus dibolosi tiga lagi
gol, dua daripada Theo Walcott dan Tomas Rosicky tidak ketinggalan
menyumbang satu dalam pesta gol tersebut.
Di Norwich, Ryan Giggs menyambut penampilan ke-900 untuk United
dengan meledak gol lewat kemenangan yang mungkin menjadi penentu
kejuaraan buat pasukannya musim ini.
Tiga mata penting yang dikutip United di tempat lawan bermakna Red
Devils terus menghidu rapat dua mata di belakang pendahulu, Manchester
City.
Jaringan Giggs dihasilkan menerusi penyudah jarak dekat selepas menyambut hantaran lintang kemas dari Ashley Young.
Terdahulu, seorang lagi veteran, Paul Scholes memberikan jaringan
pendahuluan seawal minit ketujuh namun Norwich bangkit untuk menguasai
perlawanan dan usaha mereka mengasak kubu lawan menghasilkan pulangan
setimpal apabila rembatan kaki kiri Grant Holt pada minit ke-83 dilihat
mampu menjejaskan peluang United memburu kejuaraan musim ini.
Bagaimanapun, gol yang dijaringkan Giggs mengubah kesudahannya.
sumber: UtusanOnline
No comments:
Post a Comment