Try look at this ..

Wednesday 29 February 2012

Jalur Gemilang, Malaysia dekat di hati Bluebirds


http://www.veryicon.com/icon/png/Sport/British%20Football%20Club/Cardiff%20City.png

MALAYSIA semakin terkenal di Wales ekoran pemilikan rakyat Malaysia ke atas salah satu kelab utama negara itu Cardiff City yang kalah 2-3 menerusi penentuan penalti kepada Liverpool pada perlawanan akhir Piala Liga di Stadium Wembley, London, Ahad lalu.
Walaupun kalah, rakyat Wales tetap menganggap Cardiff adalah pemenang sebenar Piala Liga semalam kerana semangat melawan yang dipamerkan terhadap kelab gergasi Liga Perdana, Liverpool.
Kumpulan wartawan Malaysia yang menyaksikan perlawanan akhir penuh cukup dramatik semalam, dapat menyelami betapa penyokong Cardiff berterima kasih kepada Malaysia dan pengerusi kelab, Datuk Chan Tien Ghee kerana menjulang kelab mereka mara ke perlawanan akhir Piala Liga.
Sebenarnya perlawanan akhir itu juga ibarat pertembungan dua pasukan kebangsaan iaitu antara Liverpool yang mewakili England manakala Cardiff mewakili Wales.
Pertembungan akhir tersebut dihangatkan lagi dengan kekalahan 12-19 England kepada Wales pada Kejohanan Ragbi Enam Negara iaitu sehari sebelum perlawanan akhir Piala Liga.
Ini menyebabkan ramai yang meramalkan Cardiff dapat meneruskan kejayaan skuad ragbi Wales, namun akhirnya hampa apabila tunduk 2-3 menerusi penentuan penalti.
Rasa terima kasih penyokong Cardiff terserlah kerana mereka begitu bangga menyarung jersi kelab mereka yang tertera nama Malaysia.
Malah, nama Malaysia turut dilaung kuat oleh ribuan penyokong Cardiff setiap kali mereka bersorak pada perlawanan akhir Piala Liga.
Penyokong Cardiff amat berharap sentuhan Malaysia dapat menjulang kelab itu memasuki era baru dengan sasaran terdekat ialah layak ke Liga Perdana England musim depan.
Cardiff sudah lama dahagakan kejayaan selepas era gemilang mereka sudah lama berlalu iaitu memenangi Piala FA pada 1927.
Kelab yang diasaskan pada 1899 itu tersingkir sehingga ke Divisyen Empat pada 1986 selama 14 tahun.
Selain nama Malaysia, nama Tien Ghee juga sering menjadi sebutan di kalangan penyokong Cardiff, malah beliau merupakan antara wajah yang cukup dikenali di bandar raya Cardiff.
Ini terbukti apabila beliau menjadi tumpuan setiap kali muncul dikhalayak umum, pasti ada penyokong Cardiff yang menyapa dan bersalaman dengan beliau. Tien Ghee umpama selebriti di Cardiff.
Jalur Gemilang turut berkibar di celah-celah kain rentang Cardiff daripada pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap di London yang tidak melepaskan peluang menyaksikan perlawanan akhir Piala Liga semalam.
Debaran yang dirasai penyokong Cardiff turut dirasai rakyat Malaysia di sepanjang perlawanan akhir Piala Liga itu kerana mereka menyifatkan Cardiff adalah sebahagian daripada Malaysia.
Presiden Kelab Penyokong Malaysia di London, Dzuhair Hanafiah yang turut menyaksikan perlawanan akhir itu berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia bangga kerana dapat melihat Jalur Gemilang turut berkibar di Wembley.
“Sebagai Kelab Penyokong Kelab Malaysia di United Kingdom, saya dan ahli-ahli kelab akan hadir di setiap venue jika ada atlet negara yang terlibat dalam apa jua sukan di United Kingdom.
“Melihat Jalur Gemilang berkibar di Wembley pada perlawanan akhir Piala Liga ini, ia sesuatu yang amat membanggakan,” katanya yang berharap Jalur Gemilang akan berkibar lagi pada Sukan Olimpik 2012 di London pada Julai ini.

sumber: UtusanMalaysia

No comments:

Post a Comment