Try look at this ..

Saturday 25 February 2012

Restoran Sekinchan mahu sedar rakyat

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendaftar sebagai pengundi, Restoran Sekinchan Ikan Bakar akan menganjurkan Kenduri Jom Daftar Undi esok.
Pemilik restoran itu, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, setiap rakyat harus sedar akan tanggungjawab masing-masing demi memastikan masa depan negara dan generasi akan datang terjamin.
“Dengan penganjuran kenduri ini diharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk datang dan mendaftar sebagai pengundi.
“Terdapat 3.7 juta rakyat masih belum mendaftar, justeru kami harap selepas kenduri nanti jumlah itu dapat dikurangkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Kenduri Jom Daftar Undi yang akan diadakan di premis restoran itu di Setiawangsa bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang.
Tambahnya, mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi kemungkinan terlupa akan pentingnya satu undi dalam pilihan raya.
Justeru, beliau berharap dengan penganjuran kenduri berkenaan dapat meningkatkan kesedaran dan mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan mengundi.
Ini kerana jelasnya, masih belum terlambat untuk golongan itu mendaftar sebagai pengundi bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya akan datang.
“Sekarang ini boleh dikatakan adalah ‘masa kecederaan’ untuk mendaftar sebagai pengundi. Lagipun pelbagai aktiviti akan kita adakan seperti makan kenduri bersama-sama, cabutan bertuah dan persembahan artis,” katanya.
“Beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan membuka kaunter mereka,” katanya.

sumber: UtusanMalaysia

No comments:

Post a Comment