Try look at this ..

Saturday 25 February 2012

Adun ubat jadi dadah

KUALA LUMPUR: Pelbagai ubat-ubatan dan bahan kimia industri kini menjadi buruan sindiket dadah untuk diadun menjadi pelbagai dadah sintetik berbahaya.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan menjadi punca peningkatan mendadak penghasilan syabu dan ecstasy sejak kebelakangan ini membabitkan rampasan bernilai ratusan juta ringgit.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah A Rahman berkata, aktiviti itu diyakini dapat diatasi melalui kewujudan Sistem Pengurusan Integrasi Kawalan Efektif Substan atau Spikes yang dibangunkan pihaknya.
Menurutnya, Spikes satu inisiatif kerajaan di bawah Makmal Jenayah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) bertujuan mengurangkan jenayah, terutama jenayah jalanan berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

“Sistem Spikes idea Biro Pengawalan farmaseutikal bagi mengawal sepenuhnya bahan narkotik, psikotropik dan bahan kimia prekursor yang digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kegunaan industri.

“Sejak akhir-akhir ini ada kecenderungan jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah, terutama membabitkan dadah perangsang seperti syabu dan Ecstasy.

“Dadah moden ini dihasilkan daripada tindak balas kimia bahan prekursor ubat-ubatan atau industri yang diadun menjadi bahan mengkhayalkan,” katanya selepas majlis pelancaran Spikes, semalam.

Pelancaran itu dirasmikan Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Mohd Hatta Ahmad di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Kementerian Kesihatan di Petaling Jaya, Selangor.
Menurutnya, Spikes diwujudkan khusus bagi meningkatkan kawalan terhadap bahan prekursor.

“Sampai masanya satu sistem kawalan bersepadu dibangunkan untuk menentukan kegunaan bahan prekursor yang sah.

“Langkah ini secara tidak langsung berupaya mencegah bahan kimia dan ubat-ubatan daripada disalah guna dan dipesongkan untuk penghasilan dadah sintetik dan berbahaya,” katanya.

Di samping itu, sistem Spikes turut memudahkan kawalan di segi permohonan lesen, permit dan kebenaran mengimport atau mengeksport bahan ubat-ubatan dan bahan kimia.

sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Adunubatjadidadah/Article/artikelMA

No comments:

Post a Comment